19 Feb 2010

KP JPJ rakam gambar 93 pemandu biadab

PUTRAJAYA 18 Feb. – Perjalanan Datuk Solah Mat Hassan dari kampungnya di Kota Bahru ke Kuala Lumpur semalam digunakan sepenuhnya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu untuk mengintip pergerakan pemandu-pemandu yang biadab.

Dengan menggunakan kamera digital sambil dibantu anak perempuannya, beliau berjaya mengesan dan menangkap gambar 93 kenderaan yang melanggar kesalahan lalu lintas.

Tegas Solah, semua pemilik kenderaan berkenaan akan dipanggil untuk proses temu siasat sebelum dikeluarkan saman.

‘‘Saya terserempak dengan pemandu kenderaan persendirian yang bersifat seperti orang yang tidak berpendidikan dengan memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan cermin gelap.

“Saya menangkap gambar mereka menggunakan kamera digital untuk dijadikan bukti, banyak gambar telah diambil sehingga kad memori kamera penuh,” katanya pada sidang akhbar mengenai Ops Sikap sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Solah berkata, tingkah laku sesetengah pemandu yang biadab menyebabkan beliau hilang sabar lalu menelefon pegawainya untuk menjejak kereta berkenaan dengan serta-merta.

“Dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai, saya terserempak dengan sebuah kereta Perodua Kancil yang memotong di garisan berkembar sebanyak 10 kali,” katanya.

Solah berkata, selain 93 pemandu biadab yang dikesan beliau sendiri, sebanyak 2,875 kenderaan lain juga didapati melakukan kesalahan trafik oleh JPJ sepanjang Ops Sikap Ke-21 yang bermula pada 7 Februari lalu.

“Mereka dikesan melakukan kesalahan oleh orang ramai dan kakitangan JPJ termasuk pegawai yang menyamar.

“Kesemua mereka akan dipanggil untuk temu siasat, kegagalan mereka untuk tampil diri dalam tempoh dua minggu akan menyebabkan nama mereka disenarai hitam oleh JPJ,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai membantu JPJ melakukan penguatkuasaan dengan menangkap gambar kenderaan pesalah trafik dan menghantarnya menggunakan e-mel ke aduan@jpj.gov.my.

“E-mel perlu disediakan dengan maklumat berkaitan seperti tempat dan masa gambar diambil serta kesalahan yang dilakukan pemandu.

‘‘Kami hanya menerima 48 aduan daripada orang ramai yang melaporkan kesalahan trafik pemandu lain, kerjasama daripada orang ramai perlu diperkuatkan,” katanya.

Sementara itu, Solah berkata, sejumlah 4,682 saman telah dikeluarkan JPJ dalam tempoh 10 hari pertama Ops Sikap.

‘‘Dalam pemeriksaan di terminal bas dan tempat terpilih, 11 bas didapati mempunyai masalah tayar manakala dua pemandu bas ditahan kerana positif dadah.

‘‘Tiga buah lori pula disita kerana menggunakan lebuh raya ketika tempoh larangan pada 12 dan 13 Februari,” katanya.


sumber capaian : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

______________

Ni baru la betul kan...

Rentetan dari : http://sofian87.blogspot.com/2010/02/potong-kiri-lane-kecemasan.html

dan http://sofian87.blogspot.com/2010/02/pemandu-hati-kering.html

No comments:

Post a Comment

Enter a long URL to make tiny: